Terima kasih saudara pengerusi majlis, Yang Berusaha Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda, pengetua-pengetua, para guru, ibu bapa serta para pelajar sekalian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. “Penculikan: Jenayah Terancang, Kecuaian dan Kealpaan”. Demikianlah tajuk ucapan saya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Adakah kita semua sudah melupakan kes penculikan adik Nurin Jazlin?, bagaimaan kes culik tersebut berakhir? Sungguh tragis dan bagaimana pula nasib adik Sharlinie yang sehingga hari ini masih lagi belum ditemui? Persoalan demi persoalan dan pelbagai cara sudah dilakukan dalam menyelesaikan kes-kes ini. Namun, sebelum kes culik ini timbul, kita telah digemparkan dengan pelbagai kes rogol, liwat dan bunuh kanak-kanak sejak beberapa tahun yang lalu. Sumber statistik ini telah dibentangkan oleh YB Chong Eng , Ahli Parlimen Bukit Mertajam di parlimen pada 22 March 2006 kira-kira dua tahun yang lalu. Menurut statistik tersebut dari 1984 hingga Feb 2006, terdapat 87 kes rogol dan bunuh. Dari jumlah 87 kes yang kejam ini, hanya 23 kes, atau pun 26.4% di selesaikan dengan pesalah dijatuhkan hukuman.
Hadirin sekalian,
Jenayah seks terhadap kanak-kanak dan remaja di negara yang tercinta ini sungguh membimbangkan kita dewasa ini. Semenjak kes pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin, masyarakat mula sedar betapa di luar sana terdapat manusia yang tidak berperikemanusian. Demi memuaskan nafsu serakah mereka, manusia berhati binatang ini sedaya upaya mencari alternatif dengan cara menculik kanak-kanak bagi melampiaskan keinginan tidak terkawal itu. Selepas Nurin Jazlin terdapat lagi beberapa kes rogol dan liwat yang dilaporkan. Terbaru ialah seorang kanak-kanak berumur lima tahun telah dirogol oleh seorang warga Bangladesh. Lelaki warga asing ini dikatakan menyewa bilik di rumah keluarga mangsa di Pangsapuri Intan Baiduri, Seksyen 15, Petaling Jaya. Kanak-kanak tersebut dipercayai telah dirogol 3 kali sejak bulan Oktober semasa keluarganya tiada di rumah. Lelaki berkenaan telah melarikan diri sehelai sepinggang dan sedang dicari polis selepas menyedari seorang tukang sapu ternampak perbuatannya. Malah sebelum terjadinya kes Nurin Jazlin,telah banyak kes culik, rogol dan bunuh yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Hadirin dan hadirat,
Semua mangsa kes rogol bunuh adalah wanita, ramai di antaranya adalah kanak-kanak kecil, yang termuda sekali hanya berumur enam tahun. Ini menunjukkan wanita dan kanak-kanak kecil menjadi mangsa kes rogol dan bunuh bukan kerana mereka berpakaian seksi. Tetapi kerana mereka adalah golongan lemah yang tidak dapat mempertahankan diri sendiri. Pada hemat saya, kes penculikan kebanyakannya didalangi sindiket haram. Hal ini kerana saya sendiri tidak boleh menerima perbuatan penculikan dilakukan oleh hanya seorang individu. Sebaliknya kes penculikan ini adalah jenayah terancang yang tentunya melibatkan ramai penjenayah. Lebih menyakitkan apabila si penjenayah bermain dengan psikologi rakyat Malaysia dan jelas cuba mencabar kredibiliti serta kemampuan pihak polis.
Hadirin sekalian,
Kanak-kanak mempunyai hak untuk menikmati kebebasan dan ia hanya dapat dilaksanakan jika setiap individu dalam masyarakat bekerjasama memastikan persekitaran untuk anak-anak kita adalah selamat. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat untuk peka setiap kejadian di sekeliling kita dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa jika wujud sebarang kecurigaan. Hal ini kerana, ibu bapa terpaksa menidakkan hak anak-anak untuk bebas bermain semata-mata kerana ada penjenayah gila yang bebas ke sana sini tanpa ada rasa gentar di hati mereka. Ini merupakan satu penyeksaan kepada anak-anak kita, terpaksa membesar dalam situasi yang membimbangkan malah tidak sihat untuk tumbesaran seorang kanak-kanak.
Sidang pendengar yang bijaksana,
Kesungguhan kerajaan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak di negara ini tidak boleh dipersoalkan lagi. Cuma kerajaan tidak mampu menempatkan seorang polis di setiap taman permainan untuk memastikan setiap kanak-kanak di negara ini selamat. Justeru pelbagai pihak, orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan korporat perlu sama-sama memainkan peranan masing-masing. Contohnya usaha orang ramai untuk menjejaki Sharlinie dengan menggunakan kaedah masing-masing. Antaranya terdapat banyak bangunan-bangunan kosong yang terbiar di Kuala Lumpur yang mungkin menjadi tempat tinggal mereka yang disyaki telahpun digeledah. Malah, telah banyak poster diedarkan serentak ke seluruh negara dalam menjejaki adik Sharlinie.
Sidang hadirin yang di muliakan,
Dengan gerakan mencari yang dijalankan oleh polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan masyarakat umum, adalah amat sukar bagi penculik bergerak tanpa dikesan. Apatah lagi Sharlinie diculik ketika penjenayah kejam yang menculik dan membunuh Nurin Jazlin Jazimin masih belum dapat dijejaki jauh sekali dihadapkan ke muka pengadilan. Pastinya episod sedih yang menimpa Nurin menyebabkan masyarakat kita semakin peka dan pantas bertindak menghulurkan bantuan bagi meringankan beban serta kesedihan yang ditanggung ibu bapa Sharlinie.
Hadirin yang dihormati,
Bukan menuding salah siapa, bukan menuduh kealpaan ibu bapa kerana mengawasi anak-anak adalah tanggungjawab kita bersama. Memang sukar untuk membudayakan anak orang anak kita. Malah dikatakan pula menjaga tepi kainnya. Walau bagaimanapun, kesedaran tidak akan datang bergolek melainkan terjadinya peristiwa malang seperti kes adik Nurin Jazlin Jazimin. Malah banyak lagi kes-kes yang dapat dijadikan iktibar kita semua.
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Jika geroda sayapnya patah
Puteri cina bermuram diri
Jika ada silap dan salah
Diri yang hina menyusun jari
Memohon maaf penutup bicara.
“BERSAMA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT PENYAYANG”
Sekian, terima kasih.
0 comments:
Post a Comment